AGENDANASIONAL

Zakir Naik beri keterangan 10 jam di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam tadi.

Pendakwah kontroversi berusia 54 tahun itu dilihat meninggalkan Bukit Aman dengan menaiki kereta jenis Toyota Innova, pada 1.30 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ketika dihubungi berkata Zakir tiba di Bukit Aman pada 3.15 petang diiringi peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir.

Beliau berkata, Zakir sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Polis merakamkan kenyataan penceramah bebas dari India itu, yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia, buat kali pertama selama lima jam Jumaat lalu.

Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu, sekali gus mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Terdahulu, polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :