Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Zakir patut berterima kasih kerana diberi perlindungan

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Tindakan penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut agama Hindu dan kaum Cina di
Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu baru-baru ini amat tidak wajar walaupun niatnya hanya untuk berdakwah, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.

“Saya tidak setuju dengan Zakir dalam soal ini. Saya tahu beliau berdakwah dan dalam dakwahnya banyak kebaikan yang dibawa, tetapi dalam soal
menyentuh perkauman dalam negara ini ia tidak harus berlaku.

“Berdakwah perlulah secara berhikmah,” katanya dalam program Bual Bicara bersama orang ramai sempena Siri Jelajah Presiden ke Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur di sini seamalam.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan berkenaan pendirian peribadi Ahli Parlimen Port Dickson itu tentang isu yang dicetuskan Zakir.

Katanya, Zakir seharusnya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana masih memberi perlindungan kepada beliau untuk terus tinggal di negara ini.

“Memang kerajaan terdahulu yang berikan beliau status penduduk tetap dan apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga setuju benarkan beliau
duduk di sini, sepatutnya berterima kasihlah,” katanya.

Berkenaan pendirian PKR terhadap pendakwah itu, Anwar menegaskan perkara itu akan diputuskan secara rasmi hari ini.

Mengenai situasi yang melanda syarikat penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ketika ini, Anwar
menegaskan Utusan wajar diselamatkan kerana jasanya melaporkan lipatan sejarah dan perkembangan pendidikan negara sejak dahulu lagi.

“Utusan adalah akhbar yang sangat sinonim dengan sejarah negara. Tidak boleh nafikan jasanya sebagai medium pendidikan. Jadi satu pendekatan
menghormati hak para pekerjanya perlu diambil.

“Tidak boleh kerana marah Utusan maka suka ia ditutup. Saya tentunya rasa sedih. Ia hanya disalah gunakan oleh UMNO tetapi syarikat itu perlu
dipulihkan dan nasib para pekerjanya harus terbela,” katanya.

Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang berusia 80 tahun kini berada dalam keadaan kewangan yang ‘tenat’ menyebabkan berlaku tunggakan gaji pekerja
dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

– BERNAMA


Pengarang :