Amirudin Shari mengagihkan daging lembu korban ketika Program Sumbangan Lembu, Ziarah Kurban, Majlis Kenduri Rakyat Hari Raya Aidiladha 2019 di sekitar surau DUN Sungai Tua. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ziarah Korban: DUN Sungai Tua terima 15 ekor lembu

GOMBAK, 11 OGOS: Sambutan Aidiladha bagi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua lebih bermakna apabila Kerajaan Negeri menyumbangkan 15 ekor lembu untuk dikorbankan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor itu tertumpu kepada kawasan perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan terbabit.

“Seperti biasa, sejak 10 tahun lalu saya akan pergi ke kawasan penduduk setempat dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang menerima sumbangan lembu.

“Hari ini kebanyakan diberikan kepada PPR dan kawasan perumahan kos rendah supaya mereka yang berpendapatan rendah dapat menjalankan ibadah korban dan daging diagihkan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban dan Majlis Kenduri Rakyat DUN Sungai Tua di perkarangan Surau Nurul Muttaqi, Apartmen Seri Cempaka di sini, hari ini.

Antara kawasan yang dilawati ialah Surau Nurul Falah, Putri Laksamana; Surau Al Ehsan, Apartment Laksamana Jaya B dan Surau Nurul Muttaqi, Apartment Cempaka.

Program itu bersambung di sebelah petang dengan membabitkan beberapa kawasan perumahan lain

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri DUN terbabit turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penduduk setempat.

Selain melakukan ziarah korban, Amirudin juga berkesempatan meluangkan masa melawat Kebun Komuniti Kampung Laksamana yang diuruskan Jawatan Kuasa Penduduk Zon 7.


Pengarang :