Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Zuraida: Dakwaan PM hilang sokongan hanya fitnah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Dakwaan kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah kehilangan sokongan dan kepercayaan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah fitnah dan bertujuan untuk meraih perhatian semata-mata.

Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan dibuat oleh pembangkang bahawa kerajaan PAKATAN kini berada di dalam fasa kematian juga adalah fitnah dan tidak berasas.

“Dakwaan pembangkang ini adalah fitnah, semua parti dan pemimpin komponen PAKATAN menyokong penuh kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, isu Tun (Dr Mahathir) tidak mendapat sokongan serta berseorangan adalah tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang KEADILAN Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Doroyah Alwi.

Pada masa sama, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semua menteri Kabinet turut bekerjasama rapat serta memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk mentadbir negara.

“Saya selaku menteri memberi sokongan penuh kepada Tun, selaku menteri kabinet, saya mesti sokong dan laksanakan tugas yang diamanahkan.

“Semua menteri memikul tanggungjawab sama dan semua juga sudah mengangkat sumpah sebagai seorang menteri, jadi semua menteri kena jalankan tugas sebaiknya,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa PAKATAN kini sedang dalam fasa kematian politik secara senyap atau dipanggil sebagai politik gangren.

Beliau berkata, politik gangren itu semakin menjadi kenyataan kerana dari semasa ke semasa PAKATAN terus dilanda konflik.

Sementara itu, Amirudin ketika mengulas perkara sama berkata, pembangkang yang semakin kehilangan sokongan sementara sokongan terhadap Dr Mahathir semakin bertambah.

“Ramai penyokong pembangkang kini menyokong PAKATAN, malah wakil rakyat BN juga banyak yang melompat menyertai PAKATAN, jadi Ahmad Zahid perlu cermin diri sendiri dahulu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :