AGENSISELANGOR

10 pasukan berentap dalam Battle of The Band esok

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak 10 pasukan bakal berentap dalam Pertandingan ‘Battle of The Band’ Peringkat Negeri Selangor 2019, di Black Box@SACC Mall, di sini, esok.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan kerjasama PKNS Real Estate (PREC) itu bermula 10 pagi hingga 4 petang dengan menyaksikan 16 peserta turut bersaing bagi acara nyanyian solo.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, kesemua peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah bagi merebut kejuaraan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan di Melaka, pada 17 hingga 20 September ini.

“Program ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) PREC dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor, khususnya Shah Alam sebagai sebuah kota seni.

“Selain itu, kita juga mahu melahirkan insan yang berdaya saing dan merangkumi segala aspek akademik, sosial, kebudyaan dan spiritual,” katanya.

Katanya, program seumpama itu juga dapat mempromosikan Selangor kepada pelancong domestik dan luar negara khasnya menerusi aktiviti kesenian serta kebudyaan dengan pelbagai pendekatan riadah.

“Pengunjung juga dapat berhibur dan membeli-belah selain program ini dapat menjadikan Black Box@SACC Mall sebagai hab rujukan kesenian dan kebudayaan di Selangor.

“Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan persembahan yang bakal dipamerkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Selangor,” katanya.


Pengarang :