AGENDAJENAYAH

1,020kg ketum mahu diseludup ke Thailand kena rampas

PADANG BESAR, 2 SEPT: Sebanyak 34 guni dipercayai berisi daun ketum seberat 1,020 kilogram (kg) dirampas oleh sepasukan polis Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini semasa membuat rondaan di kawasan Felda Mata Ayer di sini.

Pegawai Pemerintah Medan Martak, Batalion 1 PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah, Abd Aziz Abdullah berkata, semasa menjalankan rondaan, anggotanya itu terlihat sekumpulan lelaki sedang berjalan di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah kumpulan lelaki itu menyedari kehadiran polis, kesemua mereka bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran dan polis menjumpai 34 guni putih, dipercayai berisi daun ketum yang ditinggalkan kumpulan itu.

Kita mengesyaki daun ketum ini yang nilainya dianggarkan RM153,000 akan diseludup ke negara Thailand kerana permintaan yang tinggi di sana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abd Aziz, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Polis, Padang Besar dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

– BERNAMA


Pengarang :