Gobind Singh Deo melambaikan tangan kepada orang ramai ketika menghadiri Program Merdeka@Komuniti 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Semeba, Batu Kitang pada 15 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,430 buah KHM penyampai maklumat kerajaan kepada rakyat

KUCHING, 15 SEPT: Sebanyak 1,430 buah Komuniti Harapan Malaysia (KHM) telah ditubuhkan di seluruh negara bagi menyampaikan maklumat daripada kerajaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, bantuan rakyat amat penting dalam memainkan peranan sebagai rakan strategik melalui platform yang disediakan Jabatan Penerangan Malaysia itu.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 184 buah telah ditubuhkan di Sarawak setakat 23 Ogos 2019,” katanya semasa berucap pada Program Merdeka@Komuniti 2019 di Kampung Semeba, Batu Kitang di sini, hari ini.

Beliau yakin KHM dapat memikul tanggungjawab dan penghayatan orang awam terhadap dasar-dasar kerajaan di samping memperkasakan jaringan komunikasi serta kerjasama antara rakyat pelbagai kaum.

“Tanggungjawab ahli jawatankuasa KHM yang telah dilantik adalah besar kerana mereka merupakan tangan, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan keluh-kesah rakyat selain membantu segala inisiatif kerajaan sampai kepada sasaran,” katanya.

Program hari ini merupakan antara usaha kerajaan untuk menjalin ikatan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat setempat sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negara.

Hadir sama Ahli Parlimen Stampin merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Chong Chieng Jen dan Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Sementara itu, Chieng Jen meminta rakyat supaya memberi ruang dan menyokong kerajaan dalam usahanya memastikan pentadbiran negara bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Sempena tema Hari Malaysia ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan Malaysia lebih baik dengan tadbir urus yang efisen dan lebih telus,” katanya pada program itu.

— BERNAMA


Pengarang :