AGENDABERITA UTAMANASIONAL

168 sekolah di Selangor, Negeri Sembilan tutup esok

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 115 buah sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam akan ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang masih serius di kawasan berkenaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan malam ini berkata, penutupan itu membabitkan 26 buah sekolah di Sepang, Hulu Langat (23), Kuala Langat (21), Klang (27), dan Sabak Bernam (18).

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah tersebut membabitkan 113,699 pelajar.

“Berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Putrajaya setakat jam 4 petang hari ini di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun, maka semua sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat dan Petaling Perdana yang ditutup hari ini akan kembali beroperasi seperti biasa, esok.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid dan guru,” kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 9 malam ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 230, Klang (188), Banting (180), Shah Alam (178), Petaling Jaya (176) dan Kuala Selangor (162).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Hari ini sebanyak 201 sekolah di Selangor yang melibatkan daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup.

Sekolah yang ditutup hari ini bagi kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang ialah 52, PPD Kuala Langat 21, PPD Hulu Langat 62, PPD Petaling Perdana 39 dan PPD Klang 27.

Sementera itu, di Seremban, 53 sekolah di kawasan Nilai dan Mantin akan ditutup bagi sesi persekolahan esok, berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, setakat jam 9 malam ini, bacaan IPU di Nilai merekodkan bacaan 205 iaitu sangat tidak sihat dan penutupan sesi persekolahan esok melibatkan seramai 28,073 pelajar.

“Bagi 63 sekolah di kawasan Port Dickson yang telah ditutup hari ini, akan bermula seperti biasa esok.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :