Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

192,000 pengguna direkod guna kemudahan di Terminal 17

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 192,000 pengguna direkodkan menggunakan kemudahan bas di Terminal Bas Shah Alam di Seksyen 17 (Terminal 17) dengan purata sebanyak 35,241 tiket dan 5,396 trip sebulan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dato’ Haris Kasim berkata, dengan pengumpulan data pengunjung dan penumpang bas di terminal itu, pihaknya merancang untuk terus memberikan kemudahan dan keselesaan terbaik.

“Salah satunya seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kita sedang berusaha membina sebuah tempat letak kenderaan bertingkat di sebelah terminal ini.

“Apabila siap ia akan dapat mengurangkan masalah tempat letak kenderaan dan memberi keselesaan kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terminal 17 dan Pelancaran Laluan Tambahan Bas Smart Selangor (SA04) Shah Alam ke Kampus UiTM, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini.

Terminal 17 berkenaan dirasmikan dan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada masa sama, Haris berharap dengan adanya terminal itu ia dapat menjadikan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya maju, pintar dan serba moden dengan kemudahan sistem pengangkutan awam lengkap serta sistematik.

Katanya, kemudahan pengangkutan yang cekap dan mesra mampu meningkatkan tahap kepuasan rakyat dan memberikan gambaran positif kepada pelancong dalam dan luar negara, sekali gus melonjakkan imej bandaraya Shah Alam.

“Pengoperasian terminal ini merupakan satu langkah ke hadapan MBSA seiring matlamat menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya mesra pengangkutan dan rendah karbon 2030.

“MBSA juga merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang menguruskan terminal bas,” katanya.

Terdahulu, MBSA mengambil inisiatif membina Terminal 17 yang menelan belanja RM7.7 juta sebagai usaha menyediakan keperluan, keselesaan dan kemudahan terbaik kepada penduduk Shah Alam.

Terminal 17 itu mula beroperasi 1 Mei lalu dan merupakan bangunan terminal moden serta dilengkapi sistem pengurusan terminal (TMS), Sistem Paparan Maklumat Awam (PIDS) dan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Antara kelebihan TMS adalah bebas ulat tiket, jadual pelepasan dan ketibaan bas disusun dengan sistematik.

Bangunan itu juga selesa kerana dilengkapi sistem berhawa dingin, surau, tandas, kedai serbaneka, mesin pengeluaran wang tunai, tempat letak kereta dan motorsikal serta gerai makanan.


Pengarang :