AGENDAJENAYAH

1MDB: Bekas pegawai khas Najib nafi dia lindungi Jho Low

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Seorang bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa beliau melindungi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana tidak menimbulkan isu yang Jho Low menyalahgambarkan dirinya sebagai penasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin .

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, saksi pendakwaan kelapan berkata demikian ketika soal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kesembilan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee: Kembali kepada Jho Low yang menyalahgambarkan dirinya sebagai penasihat Sultan, adakah anda memasukkan perkara ini ke dalam tulisan (memo) ketika membangkitkan perkara itu kepada pihak atasan anda.

Amhari Efendi: Tidak, kerana amalan biasa ialah untuk menunggu arahan lanjut. Tetapi saya telah memaklumkan kepada pihak atasan saya, Datuk Abdul Aziz.

Muhammad Shafee: Tetapi jika anda catatkan secara bertulis, adakah salah.

Amhari Efendi: Tidak.

Terdahulu, Muhammad Shafee membacakan minit mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang telah diadakan di Parlimen pada 30 Jun 2009.

Dalam minit itu, Muhammad Shafee berkata, bahawa wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin telah menafikan Jho Low adalah penasihat kepada kerabat itu.

TIA dinamakan semula sebagai 1MDB pada September 2009.

Muhammad Shafee: Saya mengatakan bahawa anda tidak melaporkannya (menyalahgambaran) secara lisan atau bertulis kerana anda melindungi Jho Low.

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Muhammad Shafee: Saya katakan anda cemburu dalam melihat perkara ini. Faham maksud saya. Anda tidak melihat dalam perspektif yang betul. Saya katakan dalam mesyuarat itu anda sepatutnya menyumbang dalam perbincangan tentang siapa Jho Low yang mana anda telah gagal.

Saya katakan anda gagal memaklumkan perkara ini kepada perdana menteri yang mana anda mewakili Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam mesyuarat berkenaan yang diadakan di Parlimen pada 30 Jun 2009.

Amhari Efendi: Tidak. Saya memaklumkan perkara itu kepada Datuk Abdul Aziz. Kita tengok apa tindakan yang akan diambil oleh pegawai atasan daripada Kementerian Kewangan nak ambil contohnya macam mana nak mengangkat dan membawa isu berkenaan kepada PM. Menjadi perkara biasa bagi penjawat awam untuk tidak bercakap dan hanya memerhatikan pada ketika itu.

Muhammad Shafee: Adakah dia (Aziz) memberitahu perdana menteri.

Amhari Efendi: Saya tidak tahu.

Sekali lagi Amhari Efendi menjawab bahawa tindakannya terhad kerana beliau pegawai bawahan.

“Jangan beralasan terlalu bawah, tinggi. Mungkin ini punca permasalahannya. Kerana anda tidak menyatakan pendapat anda,” kata Muhammad Shafee.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA


Pengarang :