AGENDANASIONAL

1MDB: Yayasan Tun Hussein Onn kemuka representasi berhubung wang RM1,980,328.37 juta

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Yayasan Tun Hussein Onn mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan berhubung wang RM1,980,328.37 juta yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili Yayasan Tun Hussein Onn memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihaknya menghantar representasi terhadap permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang itu.

“Dalam kes ini pihak kami telah menghantar representasi kepada pendakwaan. Sekiranya, mahkamah benarkan, saya memohon satu tarikh singkat dalam masa dua minggu untuk ‘update’ mahkamah sekiranya ada penyelesaian,” katanya semasa pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman dari SPRM mengesahkan pihaknya telah menerima representasi itu dan pendakwaan sedang mempertimbangkannya dan mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan representasi itu.

Mohd Farez juga berkata, pendakwaan telah mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mahu menuntut harta yang disita dari Yayasan Tun Hussein Onn dan tiga pihak lagi iaitu Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, IPG Mediabrands Sdn Bhd dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), namun katanya tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah hari ini untuk membuat tuntutan.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM32,962.87 dari Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan IPG Mediabrands Sdn Bhd berjumlah RM2,560,851.65 juta manakala RM1 juta dari PBRS.

Mahkamah menetapkan 14 November untuk pendengaran permohonan lucut hak melibatkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang diwakili peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal, 18 November bagi IPG Mediabrands yang diwakili S.Rajasingam dan 12 November untuk kes PBRS yang diwakili peguam K Lavinia.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA


Pengarang :