EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau bergambar kenangan bersama penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program BluePrint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 di Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

20 peserta terima Bantuan Blueprint Daerah Klang

KLANG, 24 SEPT: Seramai 20 peserta Program Bantuan Blueprint Daerah Klang menerima bantuan peralatan berjumlah RM63,400 bagi memulakan dan meluaskan lagi perniagaan masing-masing.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program yang diadakan sejak 2003 itu merupakan landasan terbaik untuk mengupayakan ekonomi keluarga.

Katanya, bantuan peralatan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri itu sebagai usaha dan pembakar semangat usahawan kecil meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Perbezaan antara mereka yang gagal dan berjaya bukan diukur kerana idea tetapi kerana keberanian mereka mengambil risiko untuk keluar dari kemiskinan.

V. Ganabatirau menyerahkan plak akrilik sebagai simbolik penerimaan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program BluePrint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 di Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Oleh itu, setiap usahawan kecil yang dibantu perlu memastikan kejayaan dicipta dengan hasil yang luar biasa supaya ekonomi keluarga dapat dirancakkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Klang 2019, di Dewan Serbaguna, Pejabat Tanah dan Klang, di sini.

Ganabatirau berkata, sejumlah RM12.9 juta dibelanjakan kepada seramai 4,109 usahawan kecil seluruh negeri sejak 2008 hingga 2019.

Pada masa sama, beliau berharap semua penerima dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri itu ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera.

“Saya percaya dengan semua peluang dan perancangan pembangunan pelbagai bangsa di negeri ini bertujuan makmurkan negeri serta menjamin kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, penerima Siti Ruzana Ab Rahim, 44, dari Rantau Panjang gembira dengan bantuan dua unit katil bekam mudah alih dan mesin UV Strelizer diterimanya.

“Saya bersyukur dengan bantuan diberikan bagi menambah baik perniagaan yang saya usahakan sejak tiga tahun ini,” katanya.

Bagi penerima D Anthony, 35, berkata, perniagaan bengkel membaiki motosikalnya pernah ditutup ekoran ketiadaan modal dan tidak mampu membeli peralatan.

“Namun, tahun ini saya membukanya kembali dan menerima bantuan peralatan air compressor dari Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :