AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

IPU sangat tidak sihat, 201 sekolah di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 201 sekolah di Selangor yang melibatkan daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini setakat jam 12 tengahari susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada paras sangat tidak sihat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, sebanyak 151 sekolah ditutup berdasarkan laporan pemantauan Jabatan Pendidikan Selangor semalam (16 September), sementara itu 50 sekolah lagi ditutup berdasarkan laporan sehingga jam 11 pagi, hari ini.

“Sekolah yang ditutup bagi kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang ialah 52, PPD Kuala Langat 21, PPD Hulu Langat 62, PPD Petaling Perdana 39 dan PPD Klang 27.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).


Pengarang :