AGENSISELANGOR

203 kes paip pecah akibat kerja pihak ketiga – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Rekod Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menunjukkan terdapat 203 kes paip pecah dari Januari hingga Ogos tahun ini dengan kekerapan 85 kali di 53 kawasan terlibat yang menjejaskan 27,985 akaun disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, statistik juga menunjukkan Taman Tasik Perdana merekodkan kekerapan insiden paip pecah tertinggi dalam tempoh itu dengan 15 kes, diikuti Kampung Pandan dan Jalan Ayer Panas, Setapak masing-masing merekodkan sembilan kes kerana kerja-kerja pihak ketiga itu.

Bagi wilayah Petaling, lokasi paip pecah adalah di Jalan Kuchai lama dengan kekerapan (K) sebanyak tiga kali melibatkan lapan kawasan terlibat (KT) menjejaskan sebanyak 1,500 akaun (A), manakala untuk wilayah Klang pula, tiga lokasi paip pecah adalah di Taman Sentosa (K-4, KT-9, A-9,560), Taman Johan Setia (K-3, KT-1, A-1,332), Jalan Kebun (K-4, KT-4, A-5,210) dan Kampung Jawa (K-6, KT-1, A-3,210).

Sementara di wilayah Hulu Langat pula lokasi terjejas adalah Bandar Mahkota Cheras (K-4, KT-2, A-330), Taman Damai Indah (K-3, KT-1, A-550), Industri Sungai Chua (K-8, KT-2, A-440) serta Kampung Sungai Balak (K-3, KT-1, A-175).

Selain itu, di wilayah Kuala Lumpur lokasi paip pecah adalah di Kampung Pandan (K-9, KT-4, A-800) dan Taman Tasik Perdana (K-15, KT-10, A-700).

Di wilayah Gombak terdapat lima lokasi iaitu Jalan Jerejak, Taman Setapak (K-3, KT-2, A-100), Jalan Ayer Panas, Setapak (K-9, KT-2, A-1,241), Jalan Cengal, Taman Setapak (K-5, KT-1, A-1,497), Jalan Besar Kepong, Kepong (K-3, KT-4, A-400) serta Taman Samudera, Batu Caves (K-3, KT-1, A-400).

“Bagi setiap insiden yang berlaku, Air Selangor telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengelakkan insiden itu berulang. Pihak kami mohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan ekoran insiden paip pecah oleh pihak ketiga yang di luar kawalan pihak kami.

“Air Selangor sentiasa berusaha meminimumkan impak gangguan dan menyalurkan bantuan dengan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas. Kerjasama dan kesabaran pelanggan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :