Rodziah Ismail bergambar bersama peserta pada Majlis Penerangan Program Pembangunan Usahawam India Selangor (SITHAM) Daerah Shah Alam di Dewan Beringin Seksyen 24, Shah Alam pada 29 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

2,076 peniaga, bakal usahawan daftar SITHAM

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 2,076 pemohon berjaya mendaftar bagi Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) menerusi sesi penerangan dijalankan di 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, jumlah itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan pada peringkat awal perbincangan untuk melaksanakan taklimat berkenaan.

Katanya, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mencatatkan bilangan permohonan paling ramai iaitu sebanyak 426 pemohon terdiri daripada usahawan sedia ada termasuk mereka yang mahu memulakan perniagaan.

“Kita menyasarkan tidak melebihi 100 peserta yang akan menyertai sesi taklimat di setiap PBT, tetapi dengan penyertaan seramai ini jelas menunjukkan petanda positif daripada masyarakat India.

“Kebanyakan mereka adalah usahawan sedia ada yang sudah menjalankan perniagaan masing-masing dan selebihnya mereka yang berminat untuk mendengar taklimat selain mengambil peluang ditawarkan sepanjang taklimat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penerangan SITHAM peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dewan Beringin Seksyen 24A, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan; Timbalan Pengarah Pelesenan MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif dan Ketua Kordinator SITHAM, Thiban Subramaniam.

Terdahulu, MBSA dipilih menjadi lokasi terakhir selepas Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi jelajah SITHAM sejak ia dimulakan pada Ogos lalu.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, sejumlah RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri dalam usaha menggerakkan program itu dengan menyasarkan penyertaan seramai 100 hingga 200 peserta di setiap PBT.

Ia merangkumi kursus Geran Bantuan Peralatan Perniagaan, GROW Bimbingan Perniagaan, Kursus Kemahiran dan Pembuatan serta Latihan Pembangunan Usahawan.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, pihaknya akan memulakan kesemua program yang diletakkan dalam senarai tawaran berkenaan kepada pemohon, pada Oktober ini.

“Selepas itu, kita ada lebih kurang dua minggu sebagai tempoh bertenang untuk membuat semakan dan menyusun program yang sesuai kepada peserta.

“Paling penting kita akan buat kajian impak daripada program ini untuk dijadikan sebagai dokumen penting Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :