Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika model unit Rumah Selangorku ketika Majlis Penyerahan Kunci di Galeri Jualan KLK Land, Presint 2 Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh pada 14 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

274 unit Rumah Selangorku sedia diduduki

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Sasaran menyiapkan lebih 20,000 unit Rumah Selangorku menjelang tahun 2025 mampu dicapai berikutan kesemua projek yang dirancang berjalan lancar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk 274 unit Rumah Selangorku Hibiscus 3 dibangunkan pemaju hartanah KL-Kepong (KLK) Country Homes Sdn Bhd yang dilancarkan di Bandar Seri Coalfields.

“Pembinaan rumah mampu milik sama sekali tidak menjanjikan keuntungan besar kepada pemaju dan Kerajaan Negeri amat berterima kasih serta mengalukan kesediaan pemaju swasta seperti KLK Country Homes bersama Kerajaan Negeri menjayakan insentif perumahan mampu milik Rumah Selangorku lebih berkualiti dan dilengkapi dengan kemudahan mencukupi, secara besar–besaran di Selangor.

“Saya menyeru kepada para pemaju hartanah lain terutamanya di Selangor untuk menjadikan Hibiscus 3 sebagai tanda aras baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik, sebagai inspirasi untuk merangka lebih banyak lagi kaedah pembangunan dan reka bentuk kediaman bagi menjana industri pembangunan hartanah lebih progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Rumah SelangorKu Hibiscus 3 merupakan projek rumah teres tiga bilik dan dua bilik air berharga RM220,000 dengan keluasan 1,080 kaki persegi.

Mengulas lanjut kepada media, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memantau dengan dekat perkembangan projek Rumah Selangorku yang masih dalam pembinaan.

Katanya, banyak lagi penyerahan kunci Rumah Selangorku bakal menyusul dari semasa ke semasa berdasarkan projek yang disiapkan.


Pengarang :