AGENDABERITA UTAMANASIONAL

303 sekolah di Perak dibuka semula esok

IPOH, 18 SEPT: Semua 303 sekolah di beberapa daerah di Perak yang ditutup hari ini disebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sangat tidak sihat akan beroperasi seperti biasa esok.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, pembukaan semua sekolah di daerah Manjung (102), Hilir Perak (71), Bagan Datuk (67) dan Perak Tengah (63) itu dibuat kerana keadaan IPU di kawasan itu bertambah baik.

“Bacaan IPU di Stesen Seri Manjung pada 5 petang berada di bawah 200 iaitu tidak sihat dan trend bacaan semakin menurun,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mohd Suhaimi berkata, sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard ditetapkan selain mengutamakan kesihatan murid serta guru sepanjang masa.

– BERNAMA


Pengarang :