Seramai 323 anak yatim dan asnaf bergambar dengan maskot Boboi Boy selepas diberi peluang menonton filem tersebut di TGV ICity Shah Alam pada 1 September 2019. Foto YIDE
AGENSISELANGOR

323 anak yatim, asnaf ceria tonton filem Boboi Boy

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kegembiraan dan keceriaan terpancar diwajah 323 orang anak yatim dan asnaf selepas mereka diraikan dengan menonton filem animasi kanak-kanak, Boboi Boy di TGV ICity Shah Alam, hari ini.

Pegawai Perhubungan Korporat Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Muhammad Hafiz Bahari berkata, tayangan amal itu ditaja sepenuhnya oleh syarikat Aiman Platanium Sdn Bhd sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya.

Katanya, anak-anak yatim itu dibawa dari 15 buah rumah kebajikan di bawah seliaan YIDE.

“Ini merupakan inisiatif YIDE bekerjasama dengan syarikat korporat untuk mengukir senyuman kegembiraan kepada anak-anak yatim ini.

“Purata umur kanak-kanak yang dibawa menonton filem tersebut ialah tujuh hingga 16 tahun. Pada minggu lepas YIDE juga membawa anak-anak yatim ini menonton perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Hafiz berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan seumpamanya daripada pihak syarikat swasta atau kerajaan.

“Saya percaya program seumpama ini mampu memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk menyumbang sesuatu kepada anak-anak yatim ini,” katanya.

Selepas tamat tayangan filem animasi itu, anak-anak itu turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Boboi Boy dan mereka diberi peluang bergambar dengan maskot berkenaan.

Pada masa sama, Muhamad Hafiz berkata, YIDE turut mengalu-alukan rumah kebajikan anak yatim di Selangor berdaftar di bawahnya.

“Ia bertujuan supaya YIDE dapat memantau dan membuat naziran kepada semua rumah anak yatim serta dapat menyalurkan peruntukan pentadbiran melalui geran tahunan,” katanya.

YIDE adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti kebajikan di Selangor.

Antara fokus lain, YIDE juga ialah menyampaikan bantuan secara segera kepada mangsa yang ditimpa malapetaka dan menyediakan rawatan hemodialisis kepada masyarakat Selangor.


Pengarang :