EXCOSELANGOR

38 pembakaran terbuka di Johan Setia sumbang IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tertinggi pernah dicatatkan pada kadar 222 sehingga 4 September lalu di kawasan Johan Setia berpunca daripada kebakaran beberapa spot termasuk kebun milik MARDI.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kebakaran berskala besar di beberapa spot pada 1 dan 2 September menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU, sekali gus menyebabkan kawasan sekitarnya berjerebu.

Katanya, dalam tempoh itu juga, sejumlah 273 aduan pembakaran terbuka diterima membabitkan daerah Klang dan 38 daripadanya sekitar kawasan Johan Setia.

“Kegiatan pembakaran sampah kebun itu dipercayai dilakukan oleh warga asing, Rohingya.

“Kawasan Johan Setia, Klang merupakan sebuah kawasan pertanian seluas lebih kurang 4,000 ekar yang dinamakan Revolusi Hijau.

“Kawasan ini merupakan kawasan tanah gambut yang mudah terbakar dan kerap berlaku aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutama semasa musim panas dan kering.

“Selain kawasan Johan Setia, pembakaran terbuka juga didapati berlaku di kawasan sekitarnya di Jalan Kebun, Klang, belukar di tepi Lebuhraya KESAS dan kawasan pertanian MARDI Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, beliau berkata, 30 amaran, lima tawaran kompaun dan dua kertas siasatan ke atas pengusaha dan pemilik tanah dikeluarkan.

Manakala, katanya, 28 kes pembakaran terbuka di sekitar Johan Setia masih dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar untuk diambil tindakan penguatkuasaan.

“Kita juga mengetatkan penguatkuasaan dengan mengadakan rondaan termasuk ketika waktu malam.

“Aktiviti pembakaran terbuka ini berpunca daripada pembakaran kebun, pembakaran belukar dan pembakaran sampah sarap yang menyebabkan keadaan berasap di kawasan sekitar.

“Kejadian kebakaran ini mengakibatkan keadaan berjerebu di sekitar kawasan Johan Setia termasuk di Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Bandar Parkland, Bandar Botanik dan Bandar Rimbayu,” katanya.


Pengarang :