Dr Siti Mariah Mahmud bergambar bersama peserta Program Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Kajian Gender Dalam Amalan Pekerjaan Dalam Kalangan Golongan Profesional Negeri Selangor di MTES SUK, Shah Alam pada 27 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

45.7 peratus akui berlaku diskriminasi jantina ketika pilih pekerja

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sejumlah 45.7 peratus responden di  Selangor  berasa jantina diambil kira semasa pemilihan pekerja manakala 43.86 peratus berpendapat wanita tidak berpeluang menerima kenaikan pangkat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, 24.37 peratus pula berpendapat kerja yang diberikan tidak sama rata dengan rakan berlainan jantina.

Katanya, sejumlah 11.75 peratus wanita pernah dibuli secara emosi manakala 3.16 peratus lagi diganggu secara seksual.

Sementara itu, Siti Mariah berkata, sebanyak 51 peratus responden wanita memberi jawapan mereka pernah ditanya berkaitan status perkahwinan oleh penemuduga semasa proses pengambilan pekerja.

“Manakala, 10.61 peratus pula ditanya berkenaan status kehamilan kerana ada segelintir majikan beranggapan mengambil kakitangan sedang mengandung bakal memberi impak kepada produktiviti kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Diskriminasi Gender Dalam Amalan Pekerjaan Dalam Kalangan Penjawat Awam di Selangor.

Hasil kaji selidik itu dilakukan sembilan bulan bermula Oktober tahun lalu dan disertai lima pensyarah yang diketuai Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri. Dr Syaza adalah pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kajian itu melibatkan 349 responden dalam kalangan penjawat awam di Selangor.

Ia dilakukan bertujuan mengenalpasti diskriminasi gender pada setiap peringkat amalan pekerjaan seperti pengambilan, kenaikan pangkat, pembangunan kendiri, pengurangan pekerja dalam sektor awam di Selangor.

Berdasarkan Indeks Jurang Global Gender (Forum Ekonomi Dunia, 2018), Malaysia menduduki tempat ke-101 daripada 144 negara.

Indeks itu menunjukkan peningkatan bagi Malaysia berbanding kedudukannya pada 2017 yang berada di tangga ke-104.

Malaysia juga mencatatkan skor tertinggi dalam pencapaian pendidikan tetapi laporan sama menyatakan penyertaan wanita sebagai penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus masih pada tahap rendah.


Pengarang :