Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai pelitup muka sebagai langkah keselamatan pada 2 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

500,000 penutup muka diterima Pejabat Pendidikan Daerah Selangor

SHAH ALAM, 17 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menghantar 500,000 unit penutup muka ke Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini untuk diagihkan kepada sekolah.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan berkata, pihak Pentadbiran sekolah boleh berhubung dengan semua Pejabat Daerah dan Pejabat Ahli Dewan Negeri sekiranya memerlukan bekalan penutup muka bagi diedar kepada pelajar.

“Sehingga hari ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melaporkan sejumlah 145 buah sekolah melibatkan 187, 928 pelajar diarah ditutup.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkaitan tindakan serta langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, orang awam turut dinasihatkan supaya memakai penutup muka, minum banyak air dan menghadkan aktiviti luar bagi memastikan tahap kesihatan kekal optimum.

“Semua pembakaran terbuka dan aktiviti pembinaan yang menyumbang kepada jerebu diarah dipadamkan dan ditutup serta-merta melalui kuasa Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.


Pengarang :