Amirudin Shari berucap ketika Seminar Perdana Kesedaran, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah dan Sistem e-Locator di Shah Alam Convention Centre, pada 17 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

700 sertai ceramah `Bila Panas Tak Sampai Ke Petang’

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 17 SEPT: Seramai 700 peserta terdiri dalam kalangan penjawat awam, pendidik, pelajar dan pemimpin masyarakat menyertai seminar kesedaran undang-undang syariah di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, seminar berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada suami isteri khususnya pasangan muda mengenai isu-isu dalam rumah tangga menerusi ceramah dan forum yang disampaikan.

Katanya, Kerajaan Negeri serius dalam menangani isu-isu dalam perkahwinan dengan mengambil pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah itu.

“Program seperti ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang masalah penceraian membabitkan pasangan berusia mahupun pasangan muda.

“Kerajaan Negeri juga mewujudkan kursus perkahwinan dan kekeluargaan yang lebih komprehensif untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga melalui Strategi Kedua Belanjawan Selangor 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagan Sokongan Keluarga Negeri Selangor dan Sistem e-Locator di sini.

Seminar itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan EXCO Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.

Hadir sama EXCO Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Hakim Syarie, Adib Husain.

Turut hadir Mufti Selangor, Tamyes Wahid dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Hadina Ahmad.

Seminar bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu membabitkan sesi ceramah yang bertajuk `Bila Panas Tak Sampai Ke Petang’ disampaikan, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Klang, Hairuddin Rahim disusuli dengan sesi soal jawab bersama peserta.

Forum yang bertajuk `Anakmu Anakku Jua’ turut menampilkan artis terkenal sebagai panel seperti Norman Hakim, Memey Suhaiza, Abby Abadi, Muhammad Faizal dan moderator forum daripada TV AlHijrah, Finaz Yunus.


Pengarang :