Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

93 peratus netizen tidak setuju naik had umur bersara

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kira-kira 93 peratus daripada 6,200 responden pelayar maya tidak bersetuju dengan cadangan kerajan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan kaji selidik Media Selangor di Facebook, antara 12.34 tengah hari semalam hingga 9 pagi tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, seramai 5,700 responden tidak bersetuju dengan cadangan itu, manakala 452 responden (tujuh peratus) bersetuju had umur bersara yang sesuai bagi rakyat Malaysia antara 60 hingga 65 tahun.

Kaji selidik itu dibuat susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan bahawa kementerian berkenaan sedia memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk meningkatkan had usia persaraan seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara, termasuk permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola).

Selain mengundi, netizen turut memberi pelbagai reaksi di ruangan komen, antaranya Latifah Ibrahim Latifah, yang berpendapat cadangan had umur persaraan itu sangat tidak wajar kerana menutup ruang dan peluang terhadap anak muda untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“55 tahun pencen. Bagi peluang orang muda atau belia nak bekerja. Orang muda banyak idea dan rancangan yang baik. Bagi veteran, masa yang ada tumpu dan lebihkan bersama keluarga serta bekalan akhirat pula,” tulisnya.

Komen ditinggalkan Zulkapri Zainuddin pula menganggap cadangan meningkatkan had umur itu sebagai membebankan kerajaan untuk tempoh jangka panjang.

“Kebanyakan selepas 55 tahun ramai yang sakit dan akan meninggikan kos rawatan kerajaan. Selalu MC (sijil cuti sakit). Selepas 55, baki usia boleh beramal ibadat dengan lebih tekun,” tulisnya.

Sementara itu, Hamba Dunia berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan itu kepada kakitangan dalam sektor tertentu yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.

“Bagi saya 55 sudah memadai dan kerja specialist (pengkhususan) mungkin memerlukan lanjutan atas faktor kepakaran serta pengalaman,” tulisnya.


Pengarang :