AGENDANASIONAL

A.R Badul reda pemergian anaknya

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Pelakon serta pelawak veteran A.R Badul reda dengan pemergian anaknya Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, yang meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah pagi tadi.

A.R Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkata, beliau terkejut dengan berita yang menimpa anaknya setelah dimaklumkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi menantunya.

“Saya mendapat perkhabaran berita ini pagi tadi dan amat terkejut serta sedih. Namun saya menganggap ia satu ujian Allah.

“Allahyarham amat rapat dan ada menghubungi serta berjumpa dengan saya sebelum ini. Saya dimaklumkan peluru yang ditembak rakan seperjuangannya tersasar sedikit daripada mengenai plet kalis peluru sehingga mengenai badan arwah,” katanya ketika dihubungi.

Mej Mohd Zahir merupakan pegawai komando dari 11 Grup Gerak Khas (11 GGK) itu dilapor meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

Allahyarham bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara 5 bulan hingga 9 tahun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah terhadap keluarga Allahyarham serta menyifatkan individu itu merupakan satu kehilangan buat Tentera Darat Malaysia (TDM).

Gimik berkenaan yang diadakan hari ini menyaksikan penukaran designasi Angkatan Petugas 450 (AT 450) kepada Divisyen 5 dan 13 Briged (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kepada Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Bgd).

-BERNAMA


Pengarang :