Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Abdul Hamid nafi berat sebelah terhadap parti politik

BIDOR, 3 SEPT: Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan tuduhan seolah-olah beliau berat sebelah terhadap parti politik di negara ini dan hanya menyerang pihak pembangkang.

Beliau berkata tugasnya sebagai Ketua Polis Negara termasuklah memerhati serta menegur pihak yang berkaitan dan bukannya bersifat menyebelahi.

“Ada yang suruh saya meletakkan jawatan dan mengatakan saya masuk campur dalam hal politik. Bila saya mengeluarkan kenyataan begitu?

“Saya tidak boleh menyebelahi, sekiranya kerajaan salah pun saya tegur sebelum ini begitulah peranan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Op Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Jangan buat tuduhan melulu seolah-olah saya ini adalah Ketua Polis Negara Pakatan Harapan. Tidak, saya Ketua Polis Negara untuk negara ini, bukan untuk parti politik,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah mencampuri urusan politik apatah lagi membuat kenyataan berbaur politik.

“Parti yang kalah dalam pilihan raya biasalah akan berusaha untuk melemahkan kerajaan, itu peranan dia tetapi saya pula dikatakan serang parti pembangkang. Saya minta orang yang buat tuduhan itu supaya dengar baik-baik apa yang saya cakap,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil yang meminta Abdul Hamid agar tidak bersikap berat sebelah kepada mana-mana parti politik dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara sekiranya ingin membuat kenyataan berkaitan politik.

-BERNAMA


Pengarang :