Pantai Ulee Lheuh, salah satu kawasan yang paling teruk dilanda badai tsunami pada 26 Disember 2004.
BUDAYA RENCANA

Aceh simpan sejarah cinta Puteri Pahang

BANDA ACEH, 18 SEPT: Menjejakkan kaki di pantai Ulee Lheuh (sebutan Ulele), ketika bercuti di Aceh baru-baru ini, penulis baharu menyedari bahawa pantai itulah yang menjadi bait lirik dalam lagu-lagu keroncong sejak sekian lama.

Bait itu berbunyi:

Ulele (Ulee Lheuh),

Di Kota Raja,

Boleh tak boleh,

Ikut sahaja.

Sejak itu, bait lagu keroncong popular yang pernah didendangkan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu, sentiasa terngiang-ngiang di telinga penulis.

Pemandu pelancong yang mahu dikenali sebagai Ustaz Irfan memberitahu penulis bahawa masyarakat tempatan Aceh sering mengaitkan populariti bait lagu itu dengan asal usul keturunan P. Ramlee dari sebelah bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Aceh.

“Ia seakan-akan berkongsi kebanggaan mempunyai genius muzik dan perfileman daripada keturunan mereka,” tambah beliau sambil menambah bahawa Pantai Ulee Lheuh adalah salah satu kawasan paling teruk dilanda gelombang tsunami kira-kira 15 tahun lalu.

Kini, pesisir pantai berkenaan memperlihatkan kawasan yang meriah dengan pelbagai aktiviti santai selain jualan makanan serta minuman oleh penduduk tempatan, seolah-olah tidak pernah berlaku sebarang bencana di kawasan itu.

Percutian penulis pada pertengahan Julai lalu yang antara lain ingin melihat pembangunan semula Aceh setelah diduga dengan ‘kiamat kecil’ menjadi lebih menarik kerana mendapat 1,001 cerita dan pengalaman berharga.

Di sebalik hasrat untuk melihat tinggalan bencana tsunami dan menimba ilmu pengetahuan mengenai sejarah wilayah tersebut yang juga dikenali sebagai ‘serambi Makkah’, penulis menyedari terdapat pertalian rapat antara Aceh dan Pahang, suatu ketika dahulu.

Taman Puteri Phang

Taman Putroe Phang atau dalam Bahasa Melayu dipanggil Taman Puteri Phang yang terletak di tengah Banda Aceh adalah antara kesan sejarah terpenting peradaban nusantara yang membuktikan wujudnya hubungan di antara ke dua-dua kerajaan, Aceh dan Tanah Melayu.

Di dalam taman tersebut terbinanya bangunan serba putih dikenali sebagai Gunongan yang dibangunkan oleh Sultan Iskandar Muda, pemerintah Aceh ketika itu, khas untuk Puteri Phang, yang berasal dari Pahang bagi menunjukkan rasa cintanya kepada si isteri.

Sultan Iskandar Muda berkahwin dengan Puteri Phang sebagai tanda kemenangan kerajaan Aceh yang berjaya menawan kerajaan Johor dan Pahang dan perkahwinan itu juga menjadi simbolik persaudaraan antara mereka.

Gunongan yang dibina setinggi kira-kira tiga tingkat dibangunkan menyerupai bukit-bukau di Pahang untuk Puteri Pahangmengubati kerinduan pada kampung halaman. Foto BERNAMA

Binaan miniatur yang menyerupai bukit bukau di Pahang dipercayai dibina oleh Sultan Iskandar Muda pada kira-kira awal abad ke-16 bagi mengubati kerinduan isterinya pada kampung halaman.

Irfan memberitahu penulis bahawa bangunan yang kekal utuh hingga ke hari ini walaupun pernah dilanda gempa dan tsunami itu bukan sahaja diperbuat daripada bahan binaan malah rempah-ratus.

Taman Putroe Phang dibuka secara percuma kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 7 petang.

Irfan, seorang ustaz yang berusia dalam lingkungan 40-an adalah salah seorang penduduk Aceh yang terselamat ketika tsunami melanda wilayah itu pada kira-kira 8 pagi, tanggal 26 Disember, 2004.

Ketika itu, beliau keluar dari Banda Aceh untuk urusan pekerjaan dan ketika dalam perjalanan, van yang dinaikinya terhenti akibat gegaran gempa.

“Setelah gempa berlalu, saya terus menelefon keluarga di rumah namun tiada siapa yang mengangkat, ketika itu saya tidak tahu tsunami sedang berlaku,” katanya.

Beliau bersyukur kerana anak dan isterinya terselamat daripada bencana tersebut namun kehilangan empat anggota keluarganya – dua daripadanya masih gagal ditemui sehingga kini.

Bencana tsunami 9.1 sklala richter

Bencana besar yang bermula dengan gegaran satu gempa bumi dengan kira-kira 9.1 skala richter telah menggoncang dasar laut di barat daya Sumatera, dan kemudian disusuli gelombang tsunami mencapai setinggi 30 meter, masih lagi jelas terbayang dalam kalangan rakyat Aceh yang melalui peristiwa itu walaupun telah hampir 15 tahun berlalu.

Malaysia turut terkena tempias tsunami yang meragut sejumlah nyawa di beberapa kawasan di bahagian utara semenanjung selain di Sri Lanka, India dan Thailand.

Tiga tahun selepas bencana yang meragut lebih 170,000 nyawa itu, beliau berkhidmat dengan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

“Ia kenangan paling pahit seumur hidup, saya harap tiada lagi ujian seperti itu untuk Aceh.

“Susulan tragedi tsunami itu yang dianggap bencana terburuk pada abad ke-21, Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia ketika itu mengumumkannya sebagai bencana nasional,” katanya yang kini bekerja sebagai pemandu pelancong sejak lima tahun lalu.

Menceritakan lanjut, Irfan berkata, pengumuman itu telah membuka ruang kepada berpuluh negara dan badan bukan kerajaan untuk menghulur bantuan kemanusiaan terus kepada mangsa-mangsa tsunami di Aceh dengan segera.

“Aceh kini berubah wajah malah lebih berkembang pesat dari sebelumnya terutamanya dengan kedatangan para pelancong yang semakin ramai selepas kejadian tsunami.

“Mungkin dahulu Aceh itu asing buat pelancong, berbanding Jakarta, Bali dan Bandung, tapi kini semakin ramai yang datang ke sini terutamanya pelancong Malaysia,” tambah beliau.

Menurut Irfan, selain Banda Aceh, pelancong juga meluaskan lawatan mereka ke Pulau Weh, juga dikenali sebagai Pulau Sabang yang popular dengan kejernihan air dan hidupan laut yang memukau.

Antara tempat-tempat lain yang penulis lawati ialah Muzium Tsunami, Masjid Raya Baiturrahman, Muzium Aceh dan kapal atas rumah di Gampong Lapulo.

– BERNAMA


Pengarang :