ADNSELANGOR

ADN Subang Jaya sokong cadangan naik had umur bersara

SUBANG JAYA, 3 SEPT: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menyokong cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menaikkan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun.

Katanya, ia kerana populasi golongan warga emas semakin ramai di Malaysia tambahan lagi di kawasan Dewan Undangan Negerinya, Subang Jaya.

“Saya dapati kebanyakan warga emas ini mahu terus mengaktifkan minda mereka dan salah satu caranya adalah dengan bekerja.

“Pemerhatian juga mendapati ada warga emas yang sudah tidak bekerja merasakan hidup mereka kosong sehingga tidak mempunyai arah tuju,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 1 September lalu, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

MTUC melihat had umur persaraan harus dinaikkan kerana tahap gaji rendah menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang hingga bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Mengulas lanjut, Michelle berkata, meningkatkan had umur bersara tidak akan menutup peluang anak muda dalam sesebuah organisasi.

“Sebaliknya kerajaan perlu memikirkan langkah bersesuai untuk menggiatkan industri negara sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.


Pengarang :