Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman bersama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (tiga, kiri) berserta para jemaah yang hadir ke Majlis Bacaan Yaasiin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku pada Isnin depan di Masjid Negara pada 5 September 2019. Turut kelihatan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri). Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Agong berangkat ke Majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin hadapan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 7.20 malam di Masjid Negara di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Yang turut hadir, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah. Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah di situ sebelum berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.10 malam.

Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Seri Paduka dijadual berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat yang akan berlangsung di sini, esok.

-BERNAMA


Pengarang :