Agong berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dekat sini hari ini bagi memenuhi hasratnya untuk bersama rakyat yang ditimpa musibah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong cemar duli ziarah mangsa kebakaran di Tawau

TAWAU, 2 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dekat sini hari ini bagi memenuhi hasratnya untuk bersama rakyat yang ditimpa musibah.

Seri Paduka bertitah baginda terpanggil untuk menziarahi mangsa kampung itu setelah mengetahui kejadian kebakaran terbabit ketika baginda berada di Jakarta, Indonesia.

“Apabila beta terbaca dan terlihat dalam berita berhubung kejadian kebakaran di sini (Kampung Otentik), hati beta memang sudah terpanggil supaya beta mesti datang ke sini kerana hendak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

“Pada Hari Kebangsaan lalu, kebetulan ada satu kejadian kebakaran di sebuah perkampungan di Sungai Lembing, Pahang, tetapi beta komited untuk ke Tawau dahulu kemudian berkunjung ke Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menziarahi mangsa kebakaran kampung itu di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat dekat sini.

Pada masa sama, Seri Paduka melahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta jabatan dan agensi terbabit kerana menjayakan ziarah baginda ke kampung itu.

Baginda turut mengajak rakyat untuk memberi penghargaan kepada pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas pasukan berkenaan mengawal kebakaran daripada merebak tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Beta menganggap kehadiran kita bersama di sini sebagai satu rahmat daripada Allah supaya kita ingat dan bersabar serta mempelajari musibah yang dilalui.

“Beta sudah mendengar (taklimat kejadian oleh JBPM) dan memperhatikan kedudukan rumah di kampung ini yang dibina agak rapat dan boleh mendatangkan bahaya.

Pada lawatan Seri Paduka, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 87 ketua isi rumah yang terjejas oleh kebakaran pada malam 26 Ogos lalu.

Baginda turut mendengar taklimat kejadian kebakaran oleh Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan meninjau tapak kejadian yang memusnahkan 69 rumah dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang.

-BERNAMA


Pengarang :