Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyuap kek kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Jamuan Teh Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2019 di Dataran Istana Negara pada 9 September 2019. Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Agong hadir Majlis Jamuan Teh Diraja

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja bersempena sambutan Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu dihadiri kira-kira 3,000 tetamu termasuk menteri-menteri Kabinet, duta-duta asing, pegawai kanan kerajaan serta penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan musikal oleh orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pasangan diraja itu turut berkenan meluangkan masa hampir 45 minit bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu jemputan.

Majlis itu diakhiri dengan acara memotong kek oleh Seri Paduka.

– BERNAMA


Pengarang :