Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua,kanan) berkenan menerima sumbangan berbentuk replika cek daripada Pengerusi Eu Yan Sang Malaysia, Datuk Anne Eu (dua,kiri) bernilai RM1,228,000 kepada The Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Eu Yan Sang ke-140 malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat ke Majlis Makan Malam Ulang Tahun Eu Yan Sang

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, malam tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-140 Eu Yan Sang di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 8 malam disambut pihak pengurusan tertinggi syarikat dan 750 tetamu.

Selain meraikan ulang tahun syarikat yang mengkhusus dalam perubatan tradisional Cina itu, majlis makan malam amal berkenaan juga diadakan untuk mengumpul dana bagi menyokong Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Sebanyak RM1,288,000 berjaya dikumpul daripada majlis makan malam itu dan cek disampaikan kepada Tunku Azizah semasa acara berkenaan.

Dalam titah ucapannya, Tunku Azizah menzahirkan penghargaannya dan berterima kasih kepada penyumbang di atas kemurahan hati dan sokongan mereka terhadap TAFF.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk memastikan lebih banyak bayi dilahirkan dan saya berharap untuk terus bekerjasama dengan Eu Yan Sang untuk memastikan kejayaan TAFF,” katanya.

TAFF, ditubuhkan oleh Tunku Azizah pada Ogos 2004, bertujuan menyediakan bantuan kewangan dan bantuan kepada pasangan warga Malaysia dalam mendapatkan rawatan perubatan, kaunseling dan sokongan yang berkaitan.

— BERNAMA


Pengarang :