ADNSELANGOR

Air pasang besar, tiada kawasan terjejas di Permatang – ADN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tiada kawasan di Permatang terjejas walaupun terdapat amaran fenomena air pasang besar dikatakan berlaku semalam dan hari ini, kata Ahli Dewan Negeri kawasan berkenaan, Rozana Zainal Abidin.

Beliau berkata, sebelum itu kawasan Permatang antara tempat yang disenaraikan akan mengalami air pasang besar.

“Namun sehingga hari ini semua kawasan yang dinyatakan bakal dilanda fenomena air pasang besar berada dalam keadaan terkawal dan Alhamdulillah tiada kawasan terjejas.

“Bagaimanapun, pemantauan berterusan juga sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Rozana berkata, penduduk di kawasan Permatang dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa walaupun keadaan dilihat terkawal.

“Saya nasihatkan penduduk supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak menghampiri kawasan pantai sehingga hujung Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

Fenomena air laut pasang besar itu diramal berlaku secara berperingkat pada 1 hingga 2 September, 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut dijangka mencecah 5.7 meter.


Pengarang :