AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor kekal syarat, terma perjanjian

SHAH ALAM, 12 SEPT: Tiada perubahan dalam terma dan syarat perjanjian perkhidmatan bekalan air sedia ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya susulan penstrukturan semula industri bekalan air dan pengambilalihan semua syarikat konsesi milik pihak swasta seperti yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata, bermula esok, anak syarikat Kerajaan Negeri itu akan menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Lembah Klang.

“Mulai Jumaat ini (esok), Air Selangor akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna di kawasan berkenaan dan pengguna juga akan menerima bil air dari pihak kami selepas ini.

“Air Selangor akan menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Suhaimi berkata, pihaknya turut memperkenalkan logo baharu yang melambangkan komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Terdahulu, Air Selangor diumumkan secara rasmi akan menjadi pemegang lesen perkhidmatan bekalan air dan operator tunggal yang melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna di Lembah Klang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi penstrukturan industri bekalan air dengan pengaktifan lesen tunggal itu, Air Selangor kini berjaya menyempurnakan pengambilalihan ke atas semua syarikat konsesi.

Katanya, kejayaan penstrukturan ini juga sekali gus memberi erti bahawa semua konsesi air akan ditamatkan.

“Kita berjaya merealisasikan hasrat ke arah pengurusan industri perkhidmatan air yang holistik di bawah satu operator yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi peningkatan mutu dan kualiti perkhidmatan air yang lebih efisien, efektif, berdaya saing dan mampan.

“Dengan ini, kita berjaya memuktamadkan sepenuhnya penstrukturan industri bekalan air dan semua syarikat konsesi milik pihak swasta iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB Water), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB) serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjaya diambil alih,” katanya.


Pengarang :