Amirudin Shari bergambar bersama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dan Exco-Exco negeri pada Majlis Perasmian Air Selangor sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air Lembah Klang di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor pada 10 September 2019. Foto Ihsan Air Selangor
BERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor operator tunggal selia air di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bermula Jumaat ini (13 September), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjadi pemegang lesen perkhidmatan bekalan air dan operator tunggal yang melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna di Lembah Klang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi penstrukturan industri bekalan air dengan pengaktifan lesen tunggal itu, Air Selangor kini berjaya menyempurnakan pengambilalihan ke atas semua syarikat konsesi.

Katanya, kejayaan penstrukturan ini juga sekali gus memberi erti bahawa semua konsesi air akan ditamatkan.

“Hari ini merupakan hari bermakna dalam industri perkhidmatan bekalan air, usaha dan komitmen semua pihak sama ada di pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Air Selangor.

“Kita berjaya merealisasikan hasrat ke arah pengurusan industri perkhidmatan air yang holistik di bawah satu operator yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi peningkatan mutu dan kualiti perkhidmatan air yang lebih efisien, efektif, berdaya saing dan mampan.

“Dengan ini, kita berjaya memuktamadkan sepenuhnya penstrukturan industri bekalan air dan semua syarikat konsesi milik pihak swasta iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB Water), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) , Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB) serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjaya diambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Air Selangor Sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor, di sini.

Amirudin berkata, pemilikan lesen perkhidmatan bekalan air kepada Pengurusan Air Selangor itu menjadi kenyataan selepas melalui tempoh masa panjang dan menghadapi pelbagai cabaran.

“Air Selangor selaku pemegang lesen perkhidmatan bekalan air, kini menjadi operator tunggal yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air secara holistik, sekali gus akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memantapkan lagi pengurusan Air Selangor, Amirudin berkata, sejumlah RM30 bilion nilai perbelanjaan (CAPEX) melalui pelan perniagaan 30 tahun digunakan bagi merangka dan merancang pelaksanaan kerja-kerja kapital secara berterusan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dan Air Selangor melaksanakan pelbagai perancangan dan inisiatif bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan selepas mengambilalih dua syarikat konsesi pada bulan Oktober 2015.

Antaranya, membina dan menyiapkan dua lagi Loji Rawatan Air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dengan jumlah kos sebanyak RM800 juta bagi meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor.

Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman sebanyak RM324.3 juta bagi melaksanakan kerja pengantian paip lama melebihi 438 kilometer di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Air Selangor juga membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion sepanjang tempoh 2016 hingga 2018, bagi menaiktaraf dan membaikpulih pelbagai aset dan infrastruktur bekalan air.


Pengarang :