AGENDAJENAYAH

Amah susah hati buang anak di koridor kondominium

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga Filipina yang mendakwa hidupnya bercelaru selepas ditinggalkan kekasih ditahan polis kerana meninggalkan bayinya dalam beg kitar semula di koridor Kondominum Putra Villa, Wangsa Maju di sini kelmarin.

Wanita berusia 33 tahun itu ditahan selepas dia berjumpa seorang pengawal keselamatan di kondominium berkenaan bagi mendapatkan semula bayi perempuan berusia tiga hari yang ditinggalkan sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil siasatan mendapati bayi perempuan itu ditinggalkan wanita itu di tingkat empat kondominium tersebut sebelum ditemui pengawal keselamatan yang membuat rondaan pada pukul 7.30 malam kelmarin.

Katanya, hasil siasatan lanjut, wanita itu mengaku dia meninggalkan bayinya selepas fikirannya bercelaru dan ketakutan kerana ditinggalkan kekasihnya.

“Wanita itu belum berkahwin dan anak kepada bayi itu dikatakan hasil hubungan intimnya dengan kekasihnya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu melarikan diri selepas mengetahui wanita tersebut mengandung.

“Wanita itu melahirkan bayi berkenaan pada 27 Ogos lalu dalam bilik bersendirian tanpa pengetahuan sesiapa termasuk majikannya,” katanya.

Katanya, bayi tersebut kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur bagi merawat sakit kuning dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.


Pengarang :