Kakitangan MPAJ menunjukkan baju dan pingat yang akan diberikan kepada peserta larian pada sidang media Ampang Jaya Night Run 2019 di Menara MPAJ, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Ampang Jaya Night Run 2019 kembali bagi edisi keempat

AMPANG, 4 SEPT: Larian Ampang Jaya Night Run 2019 edisi keempat, bermula di hadapan Melawati Mall kembali menemui peminat sukan larian, pada 21 September ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, larian yang menarik 2,000 peserta itu menawarkan dua kategori sejauh lima dan 12 kilometer (km), yang akan dilepaskan pada 9.45 malam dan 10 malam.

“Pihak kami menyasarkan hanya 2,200 peserta sahaja untuk mengambil bahagian dan menawarkan cabutan bertuah iaitu tiga buah televisyen jenama Samsung berukuran 42’ inci, telefon bimbit dan hamper,” katanya pada sidang media larian itu di Menara MPAJ, di sini.

Katanya, MPAJ turut menawarkan diskaun RM20 kepada 100 penyertaan terawal, khusus buat penduduk di sekitar Taman Melawati, dengan peserta hanya perlu membayar RM27 bagi kategori 5km dan RM39 bagi kategori 10km.

Dato’ Abd. Hamid Hussain (lima, kanan) bergambar bersama wakil penaja selepas sesi sidang media Ampang Jaya Night Run 2019 di Menara MPAJ, hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pemberian diskaun ini bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran berhubung gaya hidup sihat kepada penduduk,” katanya.

Ampang Jaya Night Run 2019 menawarkan hadiah wang tunai RM500 bagi johan kategori terbuka lelaki, wanita, veteran lelaki dan wanita bagi kategori 12 km.

Manakala, tempat kedua menerima RM400, tempat ketiga RM300 dan tempat keempat hingga sepuluh RM100 berserta plak.

Larian itu turut mendapat sokongan daripada rakan kongsi Smart Selangor Mampan, iaitu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM50,000, IJM Land (RM5,000), Sport Direct.com, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Sime Darby CapitaLand.

Lebih 3,000 parkir turut disediakan termasuk di ruang parkir Melawati Mall.


Pengarang :