Rumah di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras dirobohkan dalam operasi pihak berkuasa Selangor pada 18 September. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Banjir paras pinggang buat penduduk Paya Jaras tidak tahan

SUNGAI BULOH, 25 SEPT: Banjir yang melanda sekurang-kurangnya dua kali setahun sehingga mencecah paras pinggang meresahkan penduduk Kampung Paya Jaras, di sini.

Norini Mujit, 45, berkata, tidurnya tidak pernah lena setiap kali hujan lebat sejak dia sekeluarga berpindah ke situ lima tahun yang lalu.

Katanya, banjir paling buruk pernah dihadapinya pada bulan Jun lalu ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Norini Mujit

“Pada waktu itu air naik hingga ke paras pinggang, saya tidak sempat selamatkan apa-apa, semua barang rosak dan sudah tidak dapat digunakan lagi.

“Paling menyedihkan apabila banjir turut melanda sekali lagi ketika kami hendak menyambut Aidilfitri,” katanya.

SelangorKini menemui beberapa penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir baru-baru ini bagi mendapatkan reaksi berhubung Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong yang tertangguh sejak 2015.

Projek yang membabitkan kos RM5.93 juta dirancang sejak 2008 sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

Kelewatan projek itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Susilawati Mat Nor, 50, yang menetap di Kampung Paya Jaras Hilir sejak 21 tahun lalu berkata, banjir sering berlaku sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Susilawati Mat Nor

“Setiap kali banjir, habis semua karpet dan juga tikar dalam rumah.

“Tambah merisaukan apabila suami saya kini sedang terlantar sakit dan kami hanya mampu berdoa supaya banjir buruk tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Othman Ludin, 67, pula berkata, keadaan di Kampung Paya Jaras berubah berbanding lebih 50 tahun lalu ekoran rumah penduduk semakin padat.

“Keadaan bertambah buruk lima tahun lalu kerana pantang sahaja hujan lebat pasti banjir berlaku sehingga air memasuki rumah penduduk,” katanya.

Ditanya mengenai Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong yang tertunda, Othman berkata, ia akan memberi keuntungan kepada penduduk kerana aliran air akan menjadi lebih lancar.

Othman Ludin

“Orang luar sendiri boleh bayangkan bagaimana aliran air deras dari kawasan padat penduduk seperti Kota Damansara masuk ke kampung dan sungai kecil seperti di Paya Jaras ini.

“Ia ibarat jalan daripada tiga lorong menjadi satu lorong.  Sudah tentu keadaannya akan bertambah sesak secara tiba-tiba. Saya sebagai penduduk berharap projek ini mampu melebarkan sungai sedia ada dan kejadian banjir akan berkurangan,” katanya.


Pengarang :