AGENDANASIONAL

Bas lapan meter beroperasi hari ini

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Projek eksperimen bas lapan meter di laluan T300 antara hab Ampang Point dan Bukit Indah yang bermula hari ini menyaksikan purata 10 penumpang bagi setiap perjalanan, menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Kenyataan Prasarana hari ini menyebut, sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 21 perjalanan dijalankan sejak jam 5.30 pagi dengan tiga buah bas beroperasi dan kira-kira 200 penumpang menaikinya selepas 6 jam perkhidmatan.

“Jumlah penumpang bagaimanapun, dijangka meningkat pada Selasa ini (3 September) apabila sekolah dibuka semula dan orang ramai mula bekerja selepas cuti panjang tiga hari kerana cuti am Hari Kemerdekaan semalam dan sambutan Maal Hijrah hari ini,” menurut kenyataan itu.

Projek eksperimen laluan bas T300 menggunakan bas lapan meter itu akan berjalan selama tiga bulan juga bagi memantapkan lagi perjalanan “first mile, last mile” dengan perkhidmatan harian berakhir pada pukul 11.40 malam.

“Sebelum ini laluan T300 menggunakan dua bas biasa, iaitu bas 12 meter, untuk laluan sepanjang 11 kilometer dengan purata 800 penumpang sehari dan 24,000 penumpang sebulan.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha Prasarana dan anak syarikatnya, Rapid Bus dalam program transformasi sistem pengangkutan awam negara bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia,” jelas kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :