AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di Selangor pulih 81 peratus

SHAH ALAM, 29 SEPT: Bekalan air di empat wilayah terjejas di Selangor berikutan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih mencapai tahap pemulihan 81 peratus, setakat jam 6 petang ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan serta mempercepatkan proses pemulihan.

“Wilayah Petaling yang membabitkan 132, 953 akaun terjejas sudah mencapai tahap pemulihan 72 peratus, manakala Hulu Langat (114,018 akaun) pulih 96 peratus.

“Sementara itu, 49,180 akaun pelanggan terjejas di Kuala Langat sudah pulih sebanyak 61 peratus diikuti Sepang (75,880 akaun) dengan pemulihan sebanyak 85 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat dan status terkini dan hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk bantuan,” katanya.


Pengarang :