BERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di Selangor pulih 99 peratus

SHAH ALAM, 30 SEPT: Proses pemulihan bekalan air di empat wilayah di Selangor yang terjejas akibat pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih, mencapai tahap 99 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan di Hulu Langat telah dilakukan sepenuhnya manakala tiga yang lain iaitu Petaling pada tahap 99 peratus serta Kuala Langat dan Sepang (98 peratus).

Beliau berkata, pihaknya terus menjalankan operasi seterusnya dan menjangkakan proses berakhir pada jam 6 petang ini.

“Segala usaha diambil bagi memulihkan bekalan air kepada pelanggan yang terjejas mengikut sasaran.

“Bantuan lori tangkai air digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklum balas, pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat serta status terkini.

Sebarang bantuan boleh diperoleh dengan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919.


Pengarang :