AGENDAJENAYAH

Bekas jurutera kapal terbang rugi RM500,000 ditipu

SEREMBAN, 28 SEPT: Seorang bekas jurutera kapal terbang kerugian lebih RM500,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki berusia 64 tahun itu, yang tinggal di Bandar Baru Nilai, kerugian selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pekerja Pos Malaysia di Kuantan, Pahang pada 20 September lepas pukul 11 pagi yang memaklumkan bungkusan miliknya yang didakwa untuk dihantar ke Kuching, Sarawak telah ditahan di Jabatan Kastam Kuantan.

“Pengadu bagaimanapun menafikan ada menghantar bungkusan dan kemudian panggilan beliau telah disambungkan ke Balai Polis Kuantan. Sejurus disambungkan, seorang lelaki telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai waran tangkap kerana terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Pada 23 September lepas, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis dan beliau juga telah disambungkan kepada dua lagi lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan dia telah diarah mengeluarkan wang dalam akaun bank RHB miliknya kepada tiga akaun sementara RHB yang diberikan sementara siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa bagaimanapun telah membuat empat transaksi ke dalam tiga akaun bank yang diberikan, pada hari yang sama.

“Menyedari ditipu selepas dinasihati isterinya, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Nilai, semalam. Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah RM551,111.39,” katanya.

Aibee berkata polis sedang mengesan dua suspek yang dikenali sebagai Muhamad Hasim Zulfahmi dan Norhayati Abdullah bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :