Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah ketika baginda berangkat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Casuarina Meru pada 1 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekas Ketua Hakim Syarie harap Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil

IPOH, 1 SEPT: Bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah berharap perancangan menaik taraf Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat kepada lima peringkat dapat direalisasikan agar hukum agama Islam dapat dilaksanakan dengan lebih jelas.

Beliau berkata, proses yang membabitkan pertambahan dua peringkat iaitu Pertengahan dan Majlis Rayuan Syariah berbanding hanya tiga peringkat setakat ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dapat menyelaraskan perkhidmatan dari segi perundangan kepada umat Islam.

“Saya sangat berharap Mahkamah Syariah akan dinaik tarafnya supaya sama dengan Mahkamah Sivil. Kalau disamakan taraf, Mahkamah Syariah boleh meningkat dan menghadapi saingan pada semua peringkat sekali gus memberi peluang kepada umat Islam menikmati kebebasan beragama.

“InsyaAllah kalau ada kerjasama daripada peringkat atas dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, saya yakin ia dapat dilaksanakan,” katanya selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Sultan Nazrin ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 tahun lepas menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama di negeri ini.

Muhamad Asri berkata, perancangan menaiktaraf Mahkamah Syariah kepada lima peringkat juga membolehkan umat Islam di negara ini membawa segala urusan seperti pengurusan harta pusaka yang ketika ini di bawah Mahkamah Sivil.

Muhamad Asri, 65, sebelum ini pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Selatan Perak, Kadi Besar Perak, Ketua Bahagian Undang-Undang Syariah dan Hakim Rayuan Syariah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak atas pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepadanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Datuk Dr Abu Bakar Shaari yang menerima Anugerah Ar-Rizuan pada majlis sama berkata, beliau bersyukur kerana terpilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Abu Bakar, 82, berkata, Perkim sedang merancang beberapa program baharu untuk memberi manfaat kepada ahlinya selain menarik orang ramai supaya menyertai Perkim.

“Setakat ini, terdapat 22 cawangan Perkim di Perak dan kita sedang bercadang untuk menambah cawangan mengikut setiap kawasan Parlimen supaya generasi baharu dapat meneruskan usaha Perkim menjaga kebajikan umat Islam,” katanya.

Beliau, yang berasal dari Padang Rengas, adalah bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tasek, Ipoh dan banyak menceburkan diri dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan serta pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan Koperasi Usaha Bersatu Malaysia Bhd.

– BERNAMA


Pengarang :