AGENDANASIONAL

Belia digalak bekerja di kedai elak pengambilan warga asing

IPOH, 8 SEPT: Kementerian Sumber Manusia menggalakkan anak muda tempatan supaya menceburkan diri dalam pekerjaan di kedai bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pekerja warga asing di negara ini.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, kebanyakan anak muda pada masa kini yang berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti berasaskan minuman juga wajar dijadikan contoh.

“Contohnya, Kedai Tea Aroi berasaskan minuman di Pekan Lama Ipoh ini diusahakan orang muda dan semua pekerjanya warga tempatan malah tidak memohon untuk mendapatkan pekerja warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seni Mural dan Pembukaan Kedai Tea Aroi di Pekan Lama di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan rakan kongsi Tea Aroi, yang hanya mahu dikenali sebagai Simon Ng.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, tahap keselamatan di sekitar Ipoh perlu ditingkatkan sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan memandangkan ia antara lokasi tumpuan pelancong yang mempunyai pelbagai tarikan.

“Difahamkan jumlah kemasukan pelancong semakin meningkat pada tahun ini yang mana memberi keuntungan kepada rakyat dan dapat menyumbangkan pendapatan kepada negara, jadi keselamatan pelancong perlu ditingkatkan supaya mereka berasa selamat di sini.

“Pihak polis perlu sentiasa berada di kawasan tumpuan pelancong untuk memperbaiki tahap keselamatan manakala Datuk Bandar boleh menumpukan perhatian bagi meningkatkan tarikan pelancongan di Pekan Lama,” katanya.

Majlis pembukaan itu turut diserikan dengan persembahan kompang daripada 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tambun, tarian India dan tarian Singa yang turut menarik perhatian orang ramai di Pekan Lama.

-BERNAMA


Pengarang :