AGENDANASIONAL

Belum ada keputusan mansuh anti diskriminasi pengambilan pekerja

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kementerian Sumber Manusia berkata kenyataan berhubung keputusan dicapai bagi memansuhkan peruntukan anti diskriminasi dalam pengambilan pekerja di bawah Akta Kerja 1955, adalah ‘masih terlalu awal’ memandangkan perkara itu masih dalam perbincangan antara kementerian dengan pemegang taruh.

Kementerian itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang merujuk kepada artikel yang disiarkan portal berita Malaysiakini yang bertajuk: ‘After MEF’s objection, proposed anti-discrimination provision removed’.

“Malaysiakini seharusnya faham bahawa tiada keputusan yang telah dibuat, atau boleh dibuat sehingga kabinet memuktamadkan perkara itu.

“Malang sekali bagi kita, melihat pindaan yang dicadangkan kepada Akta Kerja 1955 yang disiarkan di laman web kementerian pada bulan September dengan niat baik dan telus kepada orang ramai, sebaliknya digunakan oleh artikel itu untuk memutuskan perkara berkenaan ‘terlalu awal’, menurut kenyataan itu.

Menurutnya kementerian bekerjasama rapat dengan tiga pihak menerusi Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi menangani isu-isu yang memberi kesan terhadap pihak majikan dan pekerja, sebelum merumuskan sebarang dasar atau meminda undang-undang.

“Pihak kementerian juga menghormati pemegang taruh, dan apa jua yang mereka ingin bincangkan, di samping persepakatan secara umum, kerana mereka mewakili suara lantang pihak majikan dan pekerja. Pihak kementerian juga menggesa semua pihak supaya menunggu sehingga kabinet membuat keputusan berhubung perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :