BUDAYARENCANA

Bertemu O.: Mencipta ketiadaan

Oleh Azrin Fauzi

O. begitu leka sekali menatap sebuah bingkai tanpa lukisan; langsung tidak menyedari kehadiran saya di ruang galeri itu. Dia masih seperti dahulu: berkaca mata, berambut pendek potongan Caesar, menyarung sepasang jean lusuh dan kemeja putih yang agak besar buat tubuhnya. Hanya setibanya saya di sebelahnya – sama-sama berdiri menghadap karya konseptual Basuki Basri – barulah dia bersuara, “Jika karya ini tiada apa-apa,” dengan menekankan kata “karya” itu sesinis mungkin, “untuk apa lagi kita mendepaninya?” Saya membiarkan lengang ruang yang menjawab pertanyaannya. Benarlah, kami sedang menatap kekosongan.

Ingatan saya membuka kembali surat Gustave Flaubert buat kekasih gelapnya si Louise Colet, serpihnya: “Apa yang indah bagiku, apa yang mahu kutulis, ialah buku yang tiada apa-apa…” (16 Januari 1852). Dalam mendepani kenihilan, jika saya dan O. – malah khalayak yang lain juga – mempersoal apakah berbaloi untuk menikmatinya, buat pengkarya pula, apakah berbaloi juga menciptanya? Sedangkan perbuatan mencipta atau menghasilkan itu mengada-adakan sesuatu. Flaubert telah pun menghulurkan “buku yang tiada apa-apa” kepada kita dengan Madame Bovary-nya. Dan kita akan terus bertanya, “Untuk apa lagi pengarang membangkitkan cereka, mereka-reka cerita?”

Shahnon Ahmad pernah menembungkan sastera dengan seni lukis dalam cerpennya “00000000000” (Berita Minggu, 28 Disember 1997). Dengan menerbitkan kekosongan yang mengilhami kedua-dua cabang seni ini. Ceritanya bermula: “Hari itu Kreko datang ke studioku untuk bermain. Memang sudah kami berjanji untuk sama-sama bermain. Dia bermain dengan bahasa. Aku bermain dengan garis dan warna. Dan bersamanya pula dia membawa Dol, penyanyi rock daripada kumpulan Mad Dog.” Jalur ceritanya menegang apabila Daiman Kreko (seorang penulis) dan narator “aku” (seorang pelukis) bergelut untuk gunakan cara masing-masing bagi mengungkap persona Dol dalam karya mereka. Sebelum segalanya berakhir dengan kekosongan.

Pada permukaannya, cerpen tersebut boleh sahaja menjadi kritikan terhadap pengaruh ‘kotor’ Barat atau budaya kuning atau nilai – menerusi watak Dol – yang tiada apa-apa. Tetapi sampai bila ingin kita lihat karya-karya pengarang Malaysia dengan kanta kritikan sosial semata-mata? Mungkin telah tiba waktunya untuk kanta itu dipecahkan dan disapu ke bawah permaidani sahaja serpih-serpihnya.

Sesekali O. mengelap sebelah kaca matanya dengan hujung kemeja.

Dan kita pula melihat bagaimana Daiman Kreko “bermain dengan bahasa” di atas kertasnya; kita melihat keghairahan narator “aku” yang “bermain dengan garis dan warna” pada kanvasnya. Watak Daiman Kreko bukanlah dicipta oleh Shahnon daripada ketiadaan. Kerana watak tersebut pernah bernafas dalam cerpen yang lain, “Sasterawan Daiman Kereko” (Utusan Pemuda, 13 Ogos 1960) tulisan A. Samad Said. Manakala narator “aku” pula semestinya wujud sedari awal lagi (jika tidak, mana mungkin cerpen tersebut sampai kepada kita?). Hanya watak Dol yang barangkali – dan boleh jadi – diada-adakan, sebagai idea, sebagai subjek ‘ketiadaan’.

Jika kita menanggap cerpen “00000000000” – samalah seperti karya berbingkai tanpa lukisan yang ditatap saya dan O. – tiada apa-apa, selain berakhir dengan kekosongan, ada proses yang diada-adakan. Sebenarnya bukanlah tiada apa-apa pada karya begini, sebaliknya ‘ketiadaan’lah yang ingin – secara sengaja – dipersembahkan kepada kita. ‘Ketiadaan’ (nothingness) menjadi subjek yang dimain-mainkan oleh pengkarya sebagaimana cerpen ini sendiri menjadi hamparan untuk seorang fiksyenis seperti Shahnon bermain-main dengan cereka. Pengarang akhirnya sengaja merenyuk jangkaan dan keinginan pembacanya. Hasil akhir (tulisan dan lukisan) yang dikerjakan oleh Daiman Kreko dan narator “aku” hanyalah “00000000000…” atau “Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong…” Jika “00000000000…” ialah apa yang tertulis di atas kertas dan terlukis di atas kanvas, boleh jadi tiada apa-apa (yang boleh diambil dari)pada subjeknya. Jika “00000000000…” ialah hakikat kekosongan Dol, boleh jadi susuk tersebut sedari awal lagi diada-adakan oleh Daiman Kreko dan narator “aku” – semata-mata “untuk sama-sama bermain” menghasilkan karya.

Flaubert, tentang “buku yang tiada apa-apa” dalam suratnya kepada Colet itu turut menambah, “… buku yang hampir tiada subjek, atau paling kurang pun subjeknya tidak kelihatan.” Jika Tuhan yang menciptakan sesuatu daripada ketiadaan (creatio ex nihilo), pengkarya pula – sebagai makhluk – mencipta sesuatu daripada sesuatu. Ironinya, dalam karya-karya yang menempatkan kekosongan sebegitu, pengkarya mencipta ketiadaan daripada sesuatu.

Karya konseptual Basuki Basri juga barangkali bertitik-tolak dari detik Robert Rauschenberg memalitkan cat putih di atas kanvas putih – menghasilkan White Painting (1951) – sehingga apabila dipamerkan, seorang pengunjung menulis: “Kepada yang berkenaan: tiada subjek, tiada imej, tiada rasa, tiada objek, tiada keindahan, tiada mesej, tiada bakat, tiada teknik, tiada kenapa, tiada idea, tiada niat, tiada seni, tiada objek, tiada perasaan, tiada hitam, tiada putih, tiada dan.” Pengunjung tidak sedar dalam menanggapi karya yang “tiada seni” sebenarnya dia telah melakukan sesuatu dek dicuit oleh karya tersebut.

Pandangan saya masih tergantung pada bingkai tanpa lukisan itu. Saya pun menoleh lebih jauh ke belakang. Di mana Kazimir Malevich lebih awal mencipta kekosongan dengan White on White (1918); segi empat sama berwarna putih yang ditindih di atas kanvas segi empat sama dengan putih yang lebih cerah warnanya. O. sudah pun tiada di samping. Ada kekosongan yang menindih kekosongan. Malah namanya juga tidak dapat ditemukan dalam buku tamu galeri.

Keluar sahaja dari galeri itu, di luar sana juga semakin dipenuhkan dengan kekosongan yang menyedarkan: saya juga sebahagian daripada O.


Pengarang :