AGENDANASIONAL

Bicara kes bunuh CEO Cradle Fund bermula Jumaat ini

SHAH ALAM, 4 SEPT: Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan akan bermula Jumaat ini di Mahkamah Tinggi di sini dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil kira-kira 60 saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata, penetapan tarikh perbicaraan baharu bermula Jumaat ini dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk prosiding dijalankan pada bulan ini hingga akhir Disember ini.

“Perbicaraan akan dimulakan pukul 9.00 pagi,” kata beliau.

Tarikh-tarikh baharu yang ditetapkan bagi perbicaraan kes pembunuhan itu bermula Jumaat ini adalah pada 13, 20 dan 27 September; 1 hingga 4 Oktober; 8, 15 dan 29 November serta 2 hingga 31 Disember.

Sebelum ini, mahkamah sama menetapkan perbicaraan kes pembunuhan Nazrin bermula 3 September (semalam) hingga 15 September dan 23 September hingga 4 Oktober ini.

Bagaimanapun, perbicaraan kes itu tidak dimulakan semalam susulan pihak pembelaan memohon untuk menangguhkannya kerana mereka sedang terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pihak pembelaan yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu adalah peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili dua remaja lelaki yang turut didakwa dalam kes pembunuhan itu.

Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, itu didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4.00 pagi pada 14 Jun 2018.

Terdahulu dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar memohon pertimbangan mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan pada Jumaat ini kerana ketua pasukan pendakwaan, Datuk Salim Soib@Hamid dalam proses pemulihan kesihatan susulan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lepas.

Bagaimanapun, Ab Karim meminta pihak pendakwaan supaya berbincang untuk menentukan siapa yang akan memulakan pendakwaan pada Jumaat ini memandangkan mahkamah perlu meneruskan prosiding perbicaraan itu supaya kes dapat diselesaikan dalam kadar segera.

Beliau menyatakan mahkamah tidak berhasrat untuk melengahkan lagi tempoh perbicaraan kes pembunuhan berkenaan bagi memberi laluan kepada kes lain dan meminta pihak pembelaan serta pendakwaan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Saya merasa dukacita kerana Datuk Salim telah dimasukkan ke IJN namun saya berharap pihak pendakwaan dapat membuat susulan tertentu supaya (perbicaraan) kes ini dapat dijalankan. Saya percaya tentu ada pegawai lain (Timbalan Pendakwa Raya) yang boleh mulakan kes ini,” katanya.

Pasukan pendakwaan kes pembunuhan itu diketuai Salim yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor bersama-sama Wan Shahida, Noor Mawarni Halim dan Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman.

Samirah dilihat hadir berselendang hitam pada prosiding sebutan kes itu namun hanya seorang daripada remaja terbabit berada di mahkamah.

Peguam S. Suresh memberitahu mahkamah bahawa seorang lagi remaja yang dituduh dalam kes pembunuhan itu tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana sedang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

-BERNAMA


Pengarang :