Mohd Jaafarudin Md Ali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bisnes Amal MBI terus komited sumbang bantuan

AMPANG, 4 SEPT: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor terus giat melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) meliputi pelbagai aspek.

Terbaharu, sejumlah RM50,000 disumbangkan Bisnes Amal MBI kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi larian Ampang Jaya Night Run 2019.

Ketua Pegawai CSRnya, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, kolaborasi kali kedua itu dilihat dapat membantu kecemerlangan pembangunan dalam bidang sukan dan kemasyarakatan.

“Ini adalah fungsi CSR MBI yang bukan hanya tertumpu kepada orang susah atau orang kelainan upaya tetapi juga kepada bidang lain.

“Kita melihat kesukanan dan kebajikan turut berkaitan masyarakat, oleh itu kita tertarik untuk bersama MPAJ,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ampang Jaya Night Run 2019 di Menara MPAJ, di sini.

Pada masa sama, Mohd Jaafarudin berkata, pihaknya akan ke Syria hujung tahun ini bagi menghantar kit musim sejuk kepada mangsa.

“Ini bagi membantu rakyat Syria menghadapi musim sejuk bermula Januari depan, justeru MBI mencari beberapa badan bukan kerajaan atau persatuan untuk membantu pihak kami,” katanya.

Untuk rekod, sejumlah RM49.7 juta diperuntukan pada tahun ini kepada CSR MBI yang mengutamakan 10 teras program antaranya pendidikan, masjid dan surau, bantuan keperluan asas dan sara hidup, perayaan dan keagamaan serta pembangunan dan kecemerlangan sukan.


Pengarang :