Kakitangan Hospital Jasin Rais Hasif, 27, (kanan) memakaikan penutup hidung dan mulut kepada rakan sekerjanya Zabidi Abd Malek, 45, ketika tinjauan di kilang memproses ayam malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba ambil langkah lepaskan gas ammonia ke udara

JASIN, 4 SEPT: Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengambil tindakan melepaskan gas ammonia yang terperangkap dalam saluran paip secara berperingkat di sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, malam tadi.

Exco Perumahan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, kerja pelepasan itu dilakukan pada 10 malam dan dijangka mengambil masa selama 10 jam.

“Kadar bacaan bahan kimia itu menunjukkan penurunan daripada 500 ppm (bahagian setiap juta) kepada kira- kira 30 ppm hanya dalam 45 minit,” katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba juga akan melakukan pemeriksaan berkala setiap dua jam dengan mengukur bacaan kandungan gas di kawasan pada radius kira-kira tiga kilometer dari kawasan kilang.

Katanya, jika bacaan yang diperoleh menunjukkan berlaku pencemaran udara, maka pelepasan gas itu akan dihentikan.

Kok Kiew berkata, sehingga 11.30 malam tadi, hanya 11 mangsa yang masih dirawat di Hospital Melaka berbanding 26 orang, pada siang tadi.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak cemas kerana keadaan terkawal dan mendapatkan berita daripada sumber yang sahih.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan berkata, sebagai langkah awal, dua pusat pemindahan sementara dibuka masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Jasin dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah pada 9.45 malam tadi.

-BERNAMA


Pengarang :