AGENDANASIONAL

Bomba selamatkan tapir sesat jatuh longkang

KUALA TERENGGANU, 15 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya menyelamatkan seekor tapir seberat kira-kira 80 kilogram yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Kubang Lembek, Manir di sini malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II Junaidi Mohamad berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.49 malam tadi.

Beliau berkata, bomba mengambil masa selama 90 minit untuk menyelamat dan membawa naik tapir itu ke darat selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter tersebut.

“Melalui bantuan orang kampung, anggota bomba menggunakan hos untuk mengangkat tapir yang terperangkap dalam longkang itu.

“Sewaktu operasi menyelamat dijalankan pihak bomba turut menghadapi kesukaran untuk memasukkan hos ke bahagian bawah perut haiwan itu kerana pergerakan yang banyak daripada haiwan tersebut ketika berada dalam air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Junaidi berkata, selepas diselamatkan, tapir dipercayai sesat dari hutan berhampiran kampung berkenaan meluru masuk ke dalam hutan semula.

– BERNAMA


Pengarang :