AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh aktiviti belian sederhana terhadap saham wajaran tinggi terpilih selepas mengalami jualan pada Jumaat lepas, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.12 mata kepada 1,585.26 berbanding 1,584.14 pada akhir dagangan Jumaat.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 115 berbanding 97 manakala 164 lain tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan 63 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 94.81 juta saham bernilai RM29.19 juta.

Peningkatan yang dialami indeks petunjuk utama itu bagaimanapun dikekang oleh aktiviti jualan bagi saham berharga rendah.

Mengulas perkembangan tersebut, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, saham-saham tempatan dijangka mencatat prestasi lebih baik hari ini berikutan langkah pihak penyedia indeks global, FTSE Russell memberi tempoh lanjutan enam bulan lagi kepada bon kerajaan Malaysia menepati syarat-syarat penyenaraian dalam Indeks Bon Dunia, pada Jumaat lepas.

“Bagaimanapun, berikutan aktiviti jualan ketara pada minggu lepas, kalangan pemain pasaran masih tidak yakin dengan saham Malaysia dari segi hala tuju terdekat ini dengan aliran kurang memberangsangkan kekal ketara berikutan ketiadaan belian baharu.

“Kami berpendapat, prospek jangka terdekat ini akan terus kekal dengan indeks utama masih perlu berdepan kemungkinan aliran penurunan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurut firma itu, keadaan pasaran secara amnya juga suram berikutan ketiadaan rangsangan bagi memacu sentimen pasaran yang mungkin menyaksikan indeks utama sekali lagi menguji paras 1,580.

“Sekiranya tahap itu gagal, tahap yang rendah adalah pada 1,572 manakala paras rintangan pula sekitar 1,590-1,600.”

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM8.62 dan RM5.03 manakala Public Bank, Tenaga dan IHH tidak berubah pada RM20.04, RM13.60 dan RM5.70.

Petronas Chemicals pula naik tiga sen kepada RM7.56.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, Bumi Armada dan Eduspec masing-masing rugi setengah sen kepada 28 sen, 33 sen dan empat sen.

Indeks FBM Emas naik 5.36 mata kepada 11,211.25, Indeks FBMT 100 meokok 5.44 mata kepada 11,044.06 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 1.68 mata kepada 11,762.85.

FBM 70 turun 2.72 mata kepada 13,927.98 manakala FBM Ace susut 23.82 mata kepada 4,529.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.98 mata kepada 15,347.35, Indeks Perladangan meningkat 6.60 mata kepada 6,730.17 dan indeks Indeks Produk dan Perkhidmatan naik 0.16 mata kepada 153.29.

– BERNAMA


Pengarang :